Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H):
Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.
Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)
Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya. (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)
Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata:
“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan
para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil
dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka
dengan senjata dan hendaklah orang muslim tidak turut serta berperang
ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara kaum muslimin sendiri) dan
mereka juga berpandangan tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim
yang dilakukan bersama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaian
dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (Abu Bakar
Ismaili, I'tiqad A'immatul Hadits, m/s. 75-76)
Disebutkan oleh imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) daripada Abu ‘Utsman:
“Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan
kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan
hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklahlah rakyatnya.
Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat
mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke
atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk
penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya
akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman,
6/26, no. 7401)