Wednesday 9 January 2013

Ulama' Sunnah Wal Jamaa'ah Di Malaysia Dalam Dilemma?


Pelbagai reaksi boleh timbul hasil dari tulisan ini, namun penulis tetap tegaskan menjelaskan kesesatan Syiah tetap menjadi tanggungjawab utama golongan agama. Agamawan yang pasif dan lemah dalam menanggapi persoalan isu ini sering kali menjadi sindiran dan bahan ketawa golongan Syiah yang menganggap diri mereka menjuarai isu-isu agama dan ulama’ Sunni sering kali tidak mampu menjawab hujah-hujah mereka semasa.

Di alam maya seperti blog-blog dan laman sosial, Syiah mendatangi ahli Sunnah Wal Jamaa'ah dengan hujah-hujah putar belit yang pelik berkaitan isu-isu sirah, sejarah dan hadis-hadis yang mencengangkan bukan sahaja para ustaz-ustazah sekolah menengah, guru-guru pondok bahkan pensyarah-pensyarah universiti. kita telah menyaksikan bagaimana tumbangnya tiga pensyarah universiti di Akademi Islam UM, ustazah-ustazah di Gombak, Gunung Semanggul, Pendang yang akhirnya memilih akidah mencaci para sahabat nabi. Situasi ini membingungkan masyarakat yang gagal ditangani oleh pihak berkuasa sehingga hari ini.

Peliknya Syiah yang hanya segelintir boleh menunjukkan kekuatan mereka tanpa limit, sementara golongan majoriti yang menggenggam kuasa menjadi lemah dengan rela menyerahkan graduan-graduan universiti dan murid-murid sekolah dengan membiarkan generasi baru mereka yang kosong dadanya menerima suapan para agamawan syiah disekolah-sekolah dan universiti. Selain usaha-usaha segelintir agamawan yang memiliki kesedaran yang tinggi terhadap bahayanya agama syirik dan mencaci sahabat nabi ini, kita tidak nampak golongan agamawan lain di semua peringkat memiliki kesedaran dalam persoalan ini.

Persoalan ini bukannya boleh diselesaikan menerusi khutbah Jumaat sekali-sekala, serbuan dan tangkapan sekali-sekala JAIS (satu-satunya institusi agama negeri yang menjalankan tindakan terhadap Syiah), kenyataan akhbar atau parlimen yang kabur tetapi agamawan perlu menjalankan tugas mereka menyatakan kepada masyarakat tentang bahayanya Syiah dan menjawab putar belit Syiah dengan hujah-hujah yang benar berkaitan isu-isu agama.

Sepatutnya mereka mula menulis buku-buku kecil bagi meningkatkan kesedaran tentang bahayanya Syiah dan menjelaskan matlamat utama ajaran itu disebarkan iaitu menukarkan dan memadamkan cahaya Islam dengan agama baru ciptaan Yahudi (Abdullah bin Saba’) pada abad pertama Hijrah.

Kita sangat kecewa dengan para ustaz sekolah yang lebih mengenali senarai pemain kelab pemain bola sepak luar negara melebihi mengenali nama-nama idola generasi sahabat nabi. mereka langsung tidak mampu menterjemah biografi sepuluh sahabat dijamin syurga, bahkan ramai yang tidak mengetahui nama ibu-ibu mereka (ibu kaum mukminin – Aisyah, Hafsah) dan datuk-datuk mereka (Abu Bakr dan Umar, Abu Sufyan r.a).

Secara jelas, biografi mereka tidak dikaji dengan teliti, berapa jumlah bilangan hadis yang diriwayatkan oleh mereka tidak pernah diketahui dan sejarah sebenar mereka tidak pernah diungkapkan dengan baik bahkan langsung tidak sepadan dengan nama-nama pemain bola sepak terkenal, artis-artis terkemuka hingga ramai kalangan agamawan tidak dapat dibezakan dengan guru-guru sukan sekolah, penjual jualan langsung atau sebagainya.

Jarang saya melihat para ustaz atau pensyarah universiti yang saya kenali bercakap isu kesesatan Syiah kepada ahli keluarganya sendiri atau rakan-rakan mereka apatah lagi nak menjelaskan situasi sebenar permainan hipokrit Syiah dan negara-negara Syiah di Timur Tengah. Sikap dan situasi sebegini sangat mengecewakan dan merugikan agama dan kita tidak tahu melabelkan golongan ini pada tahap mana sebenarnya walaupun kita akur merekalah pendidik yang mendidik anak-anak kita di sekolah.

Dasar reduction terhadap institusi ilmu yang diperkenalkan oleh Barat telah berjaya menjadikan ustaz-ustaz dan agamawan tahap tinggi (pensyarah universiti) sebagai ustaz feqah sahaja, ustaz usuluddin sahaja, ustaz falsafah, ustaz bahasa arab sahaja, ustaz tafsir sahaja, ustaz hadis sahaja, ustaz sejarah sahaja, ustaz tamadun sahaja, ustaz mirath sahaja, ustaz muamalah sahaja, ustaz usul fiqh sahaja, ustaz ashairah sahaja dan sebagainya.

Betapa ramai golongan ini tidak mengenali Syiah dan sejarah asal-usul mereka memperkudakan ahli bayt dan tujuan asal mereka menyerang para sahabat nabi utama. Saya pernah mendengar keluhan pensyarah universiti pengajian Islam yang keliru tentang taqrib, membela Hafiz al-Asad dan Muammar Ghaddafi dalam keadaan seluruh dunia mengetahui aqidah busuk mereka dan kezaliman mereka terhadap ahli sunah di sana.

Saya tidak mengetahui apakah ustaz ini membaca kitab-kitab firaq seperti al-Farq Bayn al-Firaq, al-Milal wa al-Nihal, kitab al-Fasl Ibn Hazm dan lain-lain yang sepatutnya menjadi rujukan beliau semasa mengajar usuluddin, saya juga tidak mengetahui apakah beliau mengerti perkembangan politik terkini dunia walaupun beliau sendiri lulusan Timur Tengah untuk membaca kisah-kisah sebenar isu di Syria, Iraq, Bahrain dan lain-lain.

Bagi saya pensyarah-pensyarah seperti ini tidak mampu untuk berdepan dengan Faisal Tehrani dan tulisan-tulisannya yang memprojekkan Islam Alam Melayu Terawal adalah Syiah menerusi aspirasi budayanya. Patutlah saya melihat tidak ada seorang pun pensyarah universiti baik bidang pengajian Melayu, sejarah Melayu, Sejarah Islam, Usuluddin boleh menyangkal tulisan Faisal Tehrani yang bermotifkan syiah.

Saya percaya orang-orang macam ini tidak mampu berdepan dengan aqilfitri atau Mohd Shaiful Ramezi Endut di Intistut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) yang secara khusus terhadap pemikiran dan falsafah. Berbeza dengan mereka yang bukan berlatar pendidikan Islam mampu menceritakan tentang Syiah dengan lebih informatif, menjelaskan situasi sebenar di Syria hasil pengkajian sejarahnya sahaja walaupun tidak mampu berbahasa arab dengan baik tetapi memiliki kesedaran yang tinggi.

Tulisan ini bukan berniat memperlekehkan golongan agama, sekali-sekala mereka perlu ditegur dan dikejutkan dari tidor yang lena kerana mereka lupa anak-anak mereka boleh terdedah kepada Syiah dan generasi mereka boleh terjebak dengan Syiah menerusi pelbagai cara kerana golongan syiah sudah pun meresapi sendi-sendi struktur masyarakat dan negara kita.

Jika agamawan sendiri masih terpinga-pinga dan tidak melihat pentingnya isu kesesatan syiah dijelaskan dan mereka tidak bercakap dan melindungi keluarganya sendiri dari ancaman ini, apakah mereka boleh melindungi jemaah mereka di surau, murid-murid mereka di sekolah atau universiti atau di tempat lain?

Saya terpaksa bercakap demikian kerana ramai pensyarah kita yang memiliki metodologi pengkajian yang hebat, sangat lemah menggunakan metodologi penyelidikan mereka untuk kepentingan masyarakat dalam masa yang sama mereka lebih mengutamakan penyelidikan universiti yang gerannya bernilai jutaan ringgit dan mengabdikan diri kepada pengiktirafan jurnal-jurnal barat untuk kepentingan habuan dunia mereka – jawatan Prof Madya atau Profesor yang memberikan gaji yang besar dengan membiarkan masyarakat terkapai-kapai terumbang-ambing bertarung antara syurga dan neraka.

Jika demikian pensyarah universiti, bagaimana mereka nak mendidik graduan untuk menjadi guru atau ustaz dan ustazah?
Bagaimana pula anak didik rupa ustaz-ustazah tersebut?
Siapakah anak didik ustaz-ustazah tersebut?
Bukankah anak-anak kita semua, ahli keluarga kita?
Persoalan akhirat fikirlah sendiri… 

1 comment:

  1. agreed... terang-terangan faizal tehrani merupakan syiah. namun hasil nukilan menjadi pujaan ASWJ dan mendapat pengiktirafan oleh DBP!

    ReplyDelete